KETUA Badan SAR Nasional (BASARNAS) FHB Bambang Soelistyo menunjukkan imej barangan yang ditemui terapung.
KETUA Badan SAR Nasional (BASARNAS) FHB Bambang Soelistyo menunjukkan imej barangan yang ditemui terapung.

Sebanyak 150 kilogram (kg) beras ditanak dalam sehari untuk juadah hampir 1,000 anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kes pesawat AirAsia Indonesia yang hilang di perbatasan Selat Karimata, di sini.

Antara anggota SAR terbabit mencari pesawat QZ8501 itu ialah Tentera Nasional Indonesia (TNI) termasuk Angkatan Laut (AL), Angkatan Udara (AU), Brigidier Mobil (BRIMOB), Komando Distrik Militer (KODIM), Kepolisian Resort Belitung Timur (POLRES-BELTIM), Kepolisian Air (POL-AIR), Taruna Siaga Bencana Indonesia (TAGANA), Angkutan Sungai Danau dan Penyeberangan (ASDP) dan Polisi Pamong Praja (POL-PP).

Selain itu turut menyertai operasi pasukan Dinas Kesihatan/ Rumah Sakit Umum Daerah (DINKES/RSUD), Badan Penangulungan Bencana Daerah (BPBD), Kelab Menyelam Manggar, Pasukan Pengakap (PRAMUKA), Himpunan Nelayan Seluruh Indonesia (HNSI), Organisasi Radio Amatur Republik Indonesia (ORARI), Persatuan Wartawan Beltim serta anggota media tempatan dan asing yang membuat liputan kejadian kehilangan pesawat itu.

Koordinator Dapur Rumah Lapangan Budi Ijan berkata, pihaknya bertugas untuk memastikan pasukan SAR tidak bermasalah dalam hal makanan supaya mereka sentiasa bertenaga ketika melaksanakan operasi.

“Seawal jam 6 pagi kami menyediakan sarapan dan yang pastinya perlu ada kopi panas. Setakat ini, biasanya kami sediakan hampir 300 bungkus nasi untuk sarapan pagi, 600 bungkus nasi makan tengah hari dan hampir 500 bungkus nasi lagi untuk makan malam.

“Menu yang disediakan oleh kami hanya ala kadar iaitu nasi, mi dan sayur-sayuran. Kira-kira 30 anggota bergilir-gilir bekerja dalam penyediaan makanan untuk pasukan SAR,” katanya sambil memberitahu ini kali pertama dia terbabit dalam operasi bencana besar membabitkan tenaga kerja pelbagai agensi.

Tuti Suparman, 30, yang bertugas membantu menyediakan minuman serta lauk berkata, walaupun bersedih dengan kejadian kehilangan pesawat membawa seramai 162 orang itu, dia mahu menjalankan tanggungjawabnya dengan paling sempurna.

“Saya berdoa semoga pesawat itu ditemui sebab saya menganggap sebagai sebahagian anggota SAR, pastinya kami akan serba-salah jika operasi ini gagal,” katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati kawasan Pusat Operasi Pangkalan Tentera Nasional Indonesia (TNI-AL) Angkatan Laut Bangka Belitung, Pos TNI AL Manggar, di sini, dipenuhi khemah besar untuk anggota SAR berehat sebelum melaksanakan operasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 6:41 AM