Sultan Abdul Halim berkenan melihat Piala Malaysia dan Sumbangsih.FOTO BERNAMA/IHSAN ISTANA KEDAH
Sultan Abdul Halim berkenan melihat Piala Malaysia dan Sumbangsih.FOTO BERNAMA/IHSAN ISTANA KEDAH
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia dimenangi pasukan bola sepak negeri itu dipersembahkan sebagai hadiah kepada Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sempena sambutan Hari Keputeraan Ke-89 baginda tahun ini.

Penyerahan piala itu disaksikan lebih 20,000 penyokong sempena aksi sulung Kedah di laman sendiri, yang menewaskan Sarawak 3-2 pada perlawanan Liga Super malam tadi di Stadium Darulaman.

Terdahulu, trofi Piala Sumbangsih kali terakhir dimiliki Kedah 23 tahun lalu dibawa masuk ke balapan bersama Piala Malaysia oleh pemain Kedah dengan dua kereta pacuan empat roda yang diiringi buggy bersama tujuh buah motosikal berkuasa tinggi mengelilingi Stadium Darulaman.

Turut kelihatan berarak pemain belia dan pemain Piala Presiden serta pemain wanita Kedah.

Sebaik selesai mengelilingi stadium kedua-dua piala itu kemudian dipersembahkan kepada Sultan Kedah oleh Ketua Jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe, kapten pasukan Khairul Helmi Johari dan Baddrol Bakhtiar.

Kedah merangkul Piala Sumbangsih selepas menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan pembukaan Liga Super di Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos di Larkin melalui penentuan sepakan penalti 5-4 selepas aksi penuh 90 minit berakhir 1-1.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2017 @ 11:37 PM