BAS  membawa pemain  Kedah bersama trofi Liga Perdana melalui Jalan Tuanku Ibrahim sebelum ke Stadium Darulaman.
BAS membawa pemain Kedah bersama trofi Liga Perdana melalui Jalan Tuanku Ibrahim sebelum ke Stadium Darulaman.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Pemain dan pegawai skuad bola sepak Kedah yang menjuarai Liga Perdana baru-baru ini menerima imbuhan sebanyak RM10,000 setiap seorang dan pakej mengerjakan umrah untuk yang beragama Islam.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang juga Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, imbuhan itu diberikan kepada setiap pemain dan pegawai yang bertungkus lumus memastikan Kedah juara sehingga layak ke Liga Super musim depan dan Piala Malaysia dalam masa terdekat.

“Bagi mereka yang bukan beragama Islam akan menerima wang tunai setaraf dengan pakej umrah.

“Saya berharap skuad Kedah akan berusaha lebih keras menghadapi cabaran Liga Super musim depan dan mampu layak ke final Piala Malaysia tahun ini,” katanya.

Mukhriz berkata, musim lalu Kedah layak ke separuh akhir Piala Malaysia dan berdasarkan prestasi pemain, KFA menyasarkan layak ke final.

Kelmarin, skuad Helang Merah diarak dengan bas sambil diiringi kira-kira 2,000 motosikal bermula 7.45 malam sekitar Bandaraya Alor Setar dengan membawa piala Liga Perdana bagi meraikan kemenangan.

Perarakan bermula di Wisma Darulaman melalui Muzium Negeri, Menara Alor Setar, Balai Seni, Pekan Rabu Lama, Bulatan Kota, Bulatan Telok Wanjah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sebelum berakhir di Stadium Darulaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 7:35 AM