Rizar Mohd Noor

Kuala Terengganu: Ketiadaan ayam tambatan Farhod Tadjiev yang digantung perlawanan tidak menjejaskan rentak kemenangan pendahulu Liga Perdana, T-Team apabila membelasah Kuantan FA 5-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Serangan bertali arus ke kubu lawan sejak awal permainan membuahkan hasil apabila penyerang Ahmad Takhiyudin berjaya menggegarkan gawang lawan pada minit ke-41.

Dua minit berselang, Ahmad Takhiyuddin hampir meletakkan pasukannya lebih selesa, namun bola tendangannya terkena tiang sebelum diselamatkan Mohd Rosfaizul Azuar.

Bersambung babak kedua, pelawat dihadiahkan penalti, tetapi sepakan pemain import Tarik El Janaby m-50, tinggi melepasi gawang dikawal Mohd Shahril Sa'ari.

Pesta gol T-Team kemudian disumbang Mohd Nor Hakim (55), Sadriddin Abdullaev (64), Muhammad Safawi ( 79) dan Azrul Hazran (90).

Sementara itu di Alor Setar, penyerang import Kedah, Sandro Da Silva muncul wira apabila menghasilkan gol kemenangan mengatasi DRB HICOM 2-1 di Stadium Darulaman.

Selepas membantu Syakir Ali menjaringkan gol pertama pada minit ke-55, Da Silva pantas menceriakan penyokong Helang Merah dengan gol kedua pada minit ke-67 sekali gus memberikan kemenangan kelima berturut-turut buat Kedah dalam saingan Liga Perdana.

“Saya lega kerana selepas gagal menjaringkan gol pada dua perlawanan lalu, akhirnya saya berjaya meledak jaringan dan saya harap ia terus berlaku dalam saingan berikutnya kerana kami menyimpan matlamat layak ke Liga Super musim depan.

“Saya kagum dengan sokongan yang saya terima ketika berjaya menjaringkan gol kerana beginilah cara kami bergembira ketika penyerang menghasilkan jaringan di Brazil,” kata Da Silva.

Gol tunggal pelawat dijaringkan Ahmad Aminuddin pada minit ke-88 tetapi ia tidak cukup untuk membantu pasukannya mencatat keputusan positif.

Di Stadium Pasir Gudang, dua jaringan Joel Chianese di penghujung perlawanan memastikan Sabah mencatatkan kemenangan 4-2 menewaskan Johor Darul Ta’zim II (JDT11).

Skuad tuan rumah kendalian Goran Paulic cuba memberi tentangan di hadapan penyokong sendiri namun pelawat kekal gagah dengan aksi mantap.

Namun JDT 11 mendahului seawal minit kelapan dengan gol penalti menerusi Nicolas Delmonte dan gol kedua Shafiq Shahruddin menyusul m-22. Keselesaan itu melekakan benteng tuan rumah apabila membenarkan Sabah meledak empat gol menerusi Abdoulaye Faye , El Hadji Diouf dan dua gol Chianese.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 8:32 AM