SERENA WILLIAMS
SERENA WILLIAMS
AFP

ABU DHABI: Serena Williams tidak akan membincangkan insiden final Terbuka Amerika Syarikat yang menyaksikannya tewas di tangan Naomi Osaka, September lalu tatkala dia mahu ‘meraih kejayaan lebih besar dan bagus’, menurut pemain dari AS itu awal pagi tadi.

Pada penampilan pertamanya di gelanggang sejak kontroversi final di New York, Serena tewas pada satu perlawanan pertunjukan di tangan kakaknya Venus 6-4, 3-6, 8-10 di ibu kota UAE dan akan berlepas ke Perth, Australia bagi kejohanan Piala Hopman di samping rakan senegaranya, Frances Tiafoe.

Ditanya sekiranya final Terbuka AS menjadi topik yang mahu diketepikannya menjelang musim baharu membuka tirainya, Serena berkata: “Saya tidak mengetepikan apa-apa. Saya hanya tidak mempunyai masa untuk bercakap mengenainya.

“Saya ada bercakap mengenainya, semua orang bercakap mengenainya untuk berbulan-bulan lamanya tapi lebih baik untuk terus melangkah kepada sesuatu yang lebih besar dan lebih baik.”

Sesuatu yang lebih positif sudah tentunya berada dalam pemikiran Serena apabila dia sebelum ini mengakui betapa rekod sepanjang zaman, Margaret Court yang memenangi 24 gelaran Grand Slam menjadi impiannya pada 2019.

Serena terlepas dua peluang berharga untuk menyamai rekod Margaret pada 2018 apabila tewas pada final Wimbledon dan Terbuka AS.

Juara Grand Slam 23 kali yang hanya menyertai tujuh kejohanan sejak kembali daripada melahirkan anak Mac lalu, sekali lagi mahu mencatat nama dalam lipatan sejarah pada Terbuka Australia pertengahan bulan depan.

“(Nombor 24) sentiasa menjadi sesuatu yang penting sejak saya meraih 22 dan kemudian 23. Ia sesuatu yang saya mahukan tapi saya perlu berupaya untuk mencapainya dan menewaskan ramai pemain yang bagus,” kata Serena.

Pemain berusia 36 tahun itu dilihat berada dalam prestasi yang baik ketika tewas di tangan Venus dan mampu mempamerkan tahap keyakinan tinggi pada perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 10:18 AM