Reuters

New York: Serena Williams mengekalkan peluang untuk melakar kalendar grand slam peribadinya apabila menewaskan kakaknya, Venus 6-2, 1-6, 6-3 di suku akhir Terbuka AS semalam.

Kemenangan itu membolehkan Serena melangkah ke kelompok empat pemain terakhir dan hanya ketinggalan dua kemenangan sebelum mencipta sejarah peribadi.

Pertemuan adik beradik itu berlaku di kejohanan utama dan dengan Venus yang juga juara Terbuka AS sebanyak dua kali itu mampu menjadi penghalang, aksi berkenaan menarik minat banyak pihak termasuk calon presiden AS, jutawan hartanah Donald Trump dan selebriti Oprah Winfrey.

Perlawanan mereka dianggap aksi wajib tonton sekali gus membuatkan pertemuan Marin Cilic serta pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic seakan sepi.

Bagi yang datang lebih awal ke Pusat Tenis Kebangsaan, mereka dihidangkan dengan aksi Djokovic yang menentang pilihan ke-18 dari Sepanyol Feliciano Lopez yang berkesudahan pemain nombor satu itu menang 6-1, 3-6, 6-3, 7-6(2).

Adik beradik Williams itu pernah bertemu sebanyak 26 kali tetapi ia sama sekali berbeza dengan aksi di Terbuka AS kali ini.

Jika Venus menang, dia semakin hampir dengan grand slam pertama sejak Wimbledon 2008 dan bakal menghalang impian adiknya itu untuk berada sebaris dengan Maureen Connolly, Margaret Court dan Steffi Graf selaku pencipta kalendar grand slam sebelum ini.

Suasana di sekitar Stadium Arthur Ashe tidak ubah seperti perlawanan tinju heavyweight dunia dan Serena serta Venus berjaya mengetepikan ikatan persaudaraan untuk bertanding bak musuh.

“Dia adalah lawan paling sukar yang pernah saya temui dalam hidup dan dia juga seorang individu paling baik yang pernah saya kenal,” kata Serena. “Ia tak ubah seperti anda menentang rakan baik anda dan pada masa sama, ia menjadi lawan paling ketat dalam arena tenis. Justeru, bukan mudah buat saya.

“Ketika bermain, saya tidak fikir bahawa dia adalah kakak saya kerana dia bermain dengan baik, melakukan servis kencang dan berlari ke sana sini untuk mengambil bola.”

Aksi di gelanggang sangat berbeza dan emosi berbanding perlawanan lain. Serena hanya memandang ke arah gelanggang dan enggan bertemu mata dengan kakaknya itu hinggalah perlawanan tamat apabila mereka bersalaman di jaring.

Pemain berusia 33 tahun yang sudah menang 21 gelaran grand slam itu menguasai set pertama walaupun Venus cuba memberi tentangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 7:30 AM