Aizalina sekeluarga berpindah ke rumah lebih selesa. FOTO ihsan LZS
Aizalina sekeluarga berpindah ke rumah lebih selesa. FOTO ihsan LZS
Mohd Husni Mohd Noor

my

Sepang: Kehidupan sukar ibu tunggal empat anak dan seorang cucu yang sebelum ini merempat di sebuah bangunan medan selera terbengkalai di Jalan Labohan Dagang -Nilai, di sini, berakhir apabila mereka sekeluarga sudah berpindah ke sebuah rumah lebih selesa.

Aizalina Ahmad, 38, bersama anaknya mula dipindahkan malam Isnin lalu oleh pegawai dan kakitangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) Sepang dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat, Dengkil 4 Wheel Club dan beberapa orang penduduk setempat.

Mereka sekeluarga dipindahkan sementara di sebuah rumah kedai yang selesa dengan kemudahan penghawa dingin, ruang tamu, dua bilik tidur dan dua bilik air di Taman Seri Dagang, Bukit Changgang, di sini.

Jurucakap LZS ketika dihubungi berkata, buat masa ini, pemilik rumah kedai berkenaan mengecualikan sewa rumah selama sebulan kepada keluarga malang itu.

Katanya, sementara itu, pihaknya akan berusaha mencari rumah sewa lain kepada keluarga itu dalam tempoh terdekat di mana sewanya akan ditanggung sepenuhnya oleh LZS.

"Kami sudah membantu keluarga ini sejak 2008 termasuk menyalurkan pelbagai bantuan termasuk persekolahan untuk anaknya, bantuan Hari Raya dan bantuan bulanan sebanyak RM500 sebulan," katanya.

Harian Metro kelmarin memaparkan kesukaran dihadapi Aizalina sekeluarga apabila terpaksa berlindung di sebuah bangunan terbengkalai dalam keadaan tidak selesa, kotor dan berisiko.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 9:28 AM