Aizalina Ahmad memeriksa barangan lusuh yang dikutip berhampiran sebuah syarikat pembinaan di Jalan Labohan Dagang-Nilai.
Aizalina Ahmad memeriksa barangan lusuh yang dikutip berhampiran sebuah syarikat pembinaan di Jalan Labohan Dagang-Nilai.

Sepang: Bagi mereka ia sebuah ‘istana’, namun bagi orang lain ia sebuah kawasan yang tidak selamat, mudah diganggu penjenayah dan diancam binatang liar.

Itu antara risiko yang dihadapi ibu tunggal, Aizalina Ahmad, 38, bersama empat anak perempuan serta seorang cucu lelaki selepas menjadikan bangunan medan selera terbengkalai berhampiran syarikat pembinaan di Jalan Labohan Dagang-Nilai, di sini, sebagai tempat berteduh, sejak dua tahun lalu.

Bangunan terbiar itu kini umpama ‘syurga’ buat lima beranak berkenaan selepas berpindah-randah beberapa tahun lalu termasuk pernah menginap di kedai makan terbengkalai di Sungai Labu, sebuah kabin di bekas tapak pelupusan sampah Sungai Melut berhampiran Kota Warisan dan terakhir di Desa Al-Mansuriah, Kampung Semarang, Dengkil, di sini.

Kisah Aizalina pernah mendapat perhatian Harian Metro dua tahun lalu selepas ibu tunggal itu dikatakan menetap di kabin serba daif selain terpaksa bergantung kepada sumber air lombong yang kotor untuk mandi, menguruskan diri dan membasuh pakaian.

Selepas dua tahun, kesusahan dihadapi Aizalina tidak banyak berubah apabila masih gagal mendapat bantuan sewajarnya termasuk memiliki rumah yang selesa dan selamat untuk berlindung.

Aizalina ketika ditemui, semalam berkata, dia sekeluarga tiada tempat lain untuk berlindung selepas dibuang keluarga dan bercerai dengan bekas suaminya sejak lapan tahun lalu.

Menurutnya, biarpun dalam keadaan daif dan tidak selesa, dia masih mampu menanggung dua anak perempuannya yang kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kota Warisan dengan hasil jualan barangan lusuh dan bantuan zakat RM450 sebulan.

“Saya ada tujuh anak hasil perkahwinan dengan bekas suami, namun tiga anak lelaki saya di bawah jagaan bekas suami manakala empat anak perempuan menetap bersama saya iaitu Seasari Nor Tsalasin, 20, Nor Arbain Seasari, 17, Seasari Nor Apriliana, 10, Seasari Nor Wulan Akhirul Zuria, 8, dan seorang cucu lelaki, Mhammad Izuan Ikram, dua tahun iaitu anak kepada Nor Arbain Seasari.

“Selain itu, anak saudara, Saiful Nizam Yusof, 23, turut menetap bersama saya di sini sejak dua tahun lalu kerana mahu membantu saya yang hidup serba daif ini,” katanya yang berasal dari Kampung Sungai Sidu, Banting.

Katanya, biarpun hidup dalam serba kedaifan dan kekurangan, namun dia sentiasa memastikan dua anak perempuan yang masih bersekolah mendapat pendidikan secukupnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 5:11 AM