Dr Anhar Opir (dua dari kiri) bersama Mohd Sabirin (tiga dari kanan) menyerahkan bantuan persekolahan pada Program Pelancaran Bantuan Pendidikan Persekolahan Sesi 2022 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi hari ini. FOTO BERNAMA
Dr Anhar Opir (dua dari kiri) bersama Mohd Sabirin (tiga dari kanan) menyerahkan bantuan persekolahan pada Program Pelancaran Bantuan Pendidikan Persekolahan Sesi 2022 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi hari ini. FOTO BERNAMA
Hajar Umira Md Zaki


Bangi: Nasib anak-anak asnaf terus terbela bagi mengelakkan mereka daripada tercicir dalam pelajaran dengan pemberian zakat daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi Program Pelancaran Bantuan Pendidikan Sesi Persekolahan 2022 Lembaga Zakat Selangor.

Majlis itu disempurnakan oleh Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Ophir di Dewan Siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

LZS memperuntukkan agihan zakat sebanyak RM32.6 juta kepada 31,954 ketua keluarga asnaf dan fakir miskin serta mualaf di seluruh Selangor.

Ketua Divisyen Operasi Bahagian Asnaf LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, jumlah agihan terbabit membabitkan bantuan pembayaran yuran dan kelengkapan peralatan sekolah untuk setiap anak asnaf.

Menurutnya, agihan itu membabitkan 385 orang pelajar prasekolah, 40,208 pelajar sekolah kebangsaan dan sekolah rendah agama serta 35,502 pelajar sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah agama.

"Bagi bantuan yuran persekolahan, setiap anak asnaf menerima antara RM100 hingga RM250 dan diagihkan menerusi tiga kaedah iaitu kemasukan terus ke akaun bank ketua keluarga, baucar tunai (V-Cash) di mana-mana kaunter cawangan Bank Islam atau secara tunai.

"LZS turut menyalurkan bantuan kelengkapan sekolah seperti pakaian, alat tulis dan sebagainya bagi setiap tanggungan dengan kadar seperti sekolah rendah kebangsaan sebanyak RM170 seorang, sekolah rendah agama RM150 seorang serta sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah agama mendapat RM200 seorang.

"Kaedah penebusan kali ini adalah sama seperti tahun sebelum ini dengan kaedah bantuan tanpa tunai E-Taisir bagi bantuan kelengkapan peralatan sekolah," katanya.

Mengulas lanjut, penebusan terbabit boleh dilakukan dengan menggunakan MyKad ketua keluarga bermula hari ini hingga 28 Februari tahun depan di pasar raya terpilih seperti Pasar Raya Lotus, Pasar Raya Borong SAKAN dan Canggih.

Sementara itu, bagi fakir dan miskin dari Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang, mereka boleh menebus barang keperluan persekolahan secara dalam talian di www.terasds.com.

Dalam pada itu, seorang penerima bantuan persekolahan, Muhammad Asmawi Sani, 49, berkata, dia bersyukur kerana terpilih untuk menerima sumbangan berbentuk pendidikan daripada LZS.

"Alhamdulillah dan saya ucapkan terima kasih kepada pembayar zakat. Semoga apa yang diberikan kepada kami akan dibalas oleh Allah SWT.

"Insya-Allah kami juga akan memanfaatkan sumbangan yang diberikan hari ini dengan baik demi masa depan anak-anak kami," katanya.

Bagi Asma Abdullah, 48, dia turut bersyukur dan gembira atas bantuan yang diterima pada hari ini.

"Selain bantuan persekolahan ini, saya turut menerima bantuan sewa rumah dan bantuan bulanan daripada LZS.

"Alhamdulillah, saya juga ingin berterima kasih kepada pembayar zakat kerana tanpa mereka perjalanan hidup saya sekeluarga tidak akan semudah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 3:39 PM