SITI Halijah Ismail (dua dari kiri) terima bantuan zakat daripada LZS.
SITI Halijah Ismail (dua dari kiri) terima bantuan zakat daripada LZS.
Oleh Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seramai 652 keluarga dikategorikan fakir dan miskin di daerah ini menerima bantuan pendidikan untuk sesi persekolahan sesi 2016 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), semalam.

Seorang penerima, Ahmad Hariri Al Hadi Md Yusop, 38, berkata, dia bersyukur kerana mendapat bantuan pendidikan daripada LZS.

“Saya mempunyai sembilan anak dan empat daripadanya bersekolah. Walaupun saya berniaga secara kecil-kecilan namun hanya mencukupi untuk perbelanjaan harian.

“Bantuan diberikan LZS sangat kami hargai kerana meringankan beban kami sekeluarga,” katanya kepada selepas Majlis Agihan Bantuan Pendidikan kepada Keluarga Asnaf Daerah Petaling, di sini, semalam.

Ahmad Hariri berkata, dia menerima bantuan untuk yuran persekolahan sebanyak RM1,450 dan RM950 untuk pakaian sekolah.

Sementara itu, Pengurus LZS Daerah Petaling Zulkepli Mad Yatim berkata, secara keseluruhannya sebanyak RM854,920 diagihkan untuk bantuan persekolahan itu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM654,990 diserahkan kepada 502 keluarga miskin manakala RM199,930 diagihkan kepada 150 keluarga fakir.

“Anak yang bersekolah di sekolah rendah akan menerima sebanyak RM150, sekolah menengah (RM250) dan prasekolah (RM100),” katanya.

Zulkepli berkata, pada tahun ini, LZS memperuntukkan sebanyak RM25 juta untuk diagihkan kepada 19,009 keluarga fakir miskin di seluruh Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 9:40 AM