PEMAIN senior, Tengku Ahmad Tajuddin (kiri) diasak dua pemain junior pada perlawanan persahabatan di Bukit Jalil.
PEMAIN senior, Tengku Ahmad Tajuddin (kiri) diasak dua pemain junior pada perlawanan persahabatan di Bukit Jalil.
ffOleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki senior negara Tai Beng Hai hanya akan memilih 18 pemain terbaik ke saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Belgium bermula 20 Jun ini dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang mampu beraksi di pelbagai posisi.

Beng Hai perlu menggugurkan tujuh daripada 25 pemain yang berada dalam kem latihan skuad negara ketika ini dan pengumuman senarai 18 pemain itu dijangka diketahui minggu depan.

Dengan dua tempat bakal diisi penjaga gol iaitu kemungkinan besar S Kumar serta Roslan Jamaluddin, bermakna hanya tinggal 16 tempat untuk dipilih Beng Hai.

“Selaku jurulatih tentulah saya mahukan pemain terbaik. Saya mahukan pemain yang mampu membantu pasukan dari pelbagai sudut.

“Pemain yang ada kelebihan mengambil pukulan sudut penalti dan boleh bermain di beberapa posisi menjadi keutamaan utama proses pemilihan,” katanya ketika ditemui semalam.

Mengulas perlawanan persahabatan membabitkan anak buahnya serta skuad remaja semalam yang menyaksikan skuad senior ketinggalan pada awal permainan sebelum mencatat kemenangan 5-3, Beng Hai berkata, skuad negara mungkin memandang mudah perlawanan itu.

“Pemain seharusnya fokus sejak awal permainan. Bila sudah ketinggalan barulah nampak berusaha mencari gol.

“Kita dapat bangkit kerana kelebihan pengalaman pemain senior,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 10:16 AM