Gambar dirakam minggu lalu, menunjukkan pekerja pasar raya di Shah Alam menyusun kotak untuk kegunaan pelanggan berikutan kempen bebas beg plastik oleh kerajaan negeri Selangor. - Foto Fail
Gambar dirakam minggu lalu, menunjukkan pekerja pasar raya di Shah Alam menyusun kotak untuk kegunaan pelanggan berikutan kempen bebas beg plastik oleh kerajaan negeri Selangor. - Foto Fail
BERNAMA

Shah Alam: Kempen 'Bebas Beg Plastik' setiap hari yang dilaksanakan kerajaan negeri Selangor sejak 1 Januari lalu, dilihat gagal pelaksanaannya, kata anggota Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan negeri sepatutnya melaksanakan kempen itu secara berfasa, bukan drastik tanpa mengambil kira impak sosialnya kepada rakyat.

"Kempen alam sekitar penting namun dasar ini harus menyediakan alternatif dan kajian. Ia harus disertakan dengan cadangan penggunaan beg kertas yang boleh dikitar semula, ini adalah satu teknologi hijau yang boleh kita war-warkan dalam kalangan rakyat.

"Kerajaan negeri juga bersikap angkuh dengan mengenakan juga caj 20 sen bagi setiap beg plastik. Pada hemat saya bila sebut kempen bebas beg plastik ia harus bebas segalanya tanpa sebarang caj," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Elizabeth Wong hari ini, yang dilapor menolak cadangan penggunaan beg kertas sebagai alternatif bagi mengurangkan penggunaan beg plastik dalam kalangan pengguna.

Wong yang dipetik portal berita pro pembangkang memberitahu, kempen itu sebenarnya mahu mendidik pengguna membawa beg sendiri ketika membeli belah, bukan untuk menggantikan beg plastik dengan bahan lain.

Mengulas lanjut, Irmohizam berkata dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, kerajaan negeri sepatutnya mengeluarkan dasar yang membantu rakyat, seperti menyediakan beg kertas yang boleh dikitar semula bagi menggantikan beg plastik.

“Saya dapat laporan keluhan rakyat yang beli ikan di pasar raya adakalanya mereka terpaksa bawa balik ikan tanpa beg plastik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 9:49 PM