NOH beramah mesra dengan masyarakat Cina di Tanjung Karang, semalam.
NOH beramah mesra dengan masyarakat Cina di Tanjung Karang, semalam.

Tanjung Karang: Kerajaan Selangor diminta mengharamkan terus penggunaan beg plastik, bukannya mengenakan caj 20 sen kepada pengguna bagi setiap beg itu.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, ini kerana Selangor mengadakan kempen tanpa beg plastik pada setiap Sabtu sebelum ini dan langkah mengenakan caj pada setiap hari adalah tidak munasabah serta dianggap langkah ke belakang.

“Keputusan Mohamed Azmin (Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) bertentangan dengan usaha Kerajaan Persekutuan untuk memastikan negara bebas beg plastik dan sampah. Kerajaan Persekutuan membelanjakan hampir RM1.9 bilion untuk kerja kerja pembersihan seperti kutipan sampah dan sisa pepejal.

“Kami menyokong tindakan beberapa negeri yang melaksanakan langkah bebas plastik kerana ia antara punca pencemaran alam serta longkang mudah tersumbat. Jika caj 20 sen dikenakan bagi setiap beg plastik pada setiap hari, sudah tentu banyak hasil kutipannya. Persoalannya ke mana pergi duit dikutip ini?

“Sepatutnya, kerajaan Selangor mencontohi bagaimana Melaka menguruskan isu beg plastik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 3,500 keluarga sempena sambutan Tahun Baharu Cina bagi Parlimen Tanjung Karang, di sini, semalam

Dalam pada itu, Noh berkata, sejak mengambil alih jawatan daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Mohamed Azmin gagal menyelesaikan isu membabitkan rakyat, antaranya bekalan air, denggi dan sehinggalah kepada bola sepak.

“Pelbagai masalah ini berlaku disebabkan sikap Mohamed Azmin. Sepatutnya kita asingkan kepentingan politik dan tugas untuk rakyat. Apabila semua perkara hendak dipolitikkan, sebab itu pentadbiran kerajaan negeri jadi cacamarba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 5:08 AM