SURAT yang ditulis Curley (kiri) seolah-olah menjadi sumpahan kepada Liverpool. FOTO Agensi
SURAT yang ditulis Curley (kiri) seolah-olah menjadi sumpahan kepada Liverpool. FOTO Agensi
Agensi

KETIKA Liverpool dilihat terlalu unggul dan berada di landasan tepat untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali pertama selepas 30 tahun, tiba-tiba sahaja kelab itu mengalami tiga kekalahan dalam empat perlawanan terakhir di semua kejohanan.

Lebih pelik, barisan pemain Liverpool gagal menjaringkan gol sepanjang tewas tiga perlawanan itu.

Apa sebenarnya yang berlaku? Ia dilihat ada kaitan dengan seorang peminat tegar Manchester United berusia 10 tahun, Daragh Curley.

Bulan lalu, kanak-kanak dari Donegal, Ireland itu menulis sepucuk surat kepada pengurus Liverpool, Jurgen Klopp meminta pasukan bimbingannya tewas.

“Liverpool memenangi terlalu banyak perlawanan. Harap selepas ini apabila Liverpool turun beraksi tolonglah tewas.

“Anda seharusnya memberi peluang kepada pasukan lain untuk menjaringkan gol,” tulisnya dalam surat itu.

Kemudian Klopp membalas surat peminat cilik itu menyatakan beliau memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi impian Curley tetapi ada menyatakan: “Kami akan tewas pada masa depan kerana inilah bola sepak.”

Sejak surat itu berada di atas meja Klopp, Liverpool tewas 0-1 di tangan Atletico Madrid, 0-3 di Watford dan kini kalah 0-2 kepada Chelsea pada pusingan kelima Piala FA hari ini.

Adakah Curley menjadi sumpahan kepada Liverpool?

The Reds mungkin berdepan kemungkinan untuk tersingkir di Liga Juara-Juara dan sudah pun tersingkir di Piala FA tetapi mereka masih kekal selesa dengan kelebihan 22 mata di tangga teratas liga.

Bagaimanapun jika Reds tewas kepada Bournemouth pada aksi liga, Sabtu ini, maka jelas sekali Curley mempunyai kuasa luar biasa!

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 10:42 PM