Swansea, United Kingdom: James Milner melonjakkan Liverpool ke tangga kedua Liga Perdana apabila penalti yang disempurnakannya memastikan kemenangan 2-1 Reds ke atas Swansea malam tadi.

Penalti Milner menjadi kemuncak kebangkitan skuad kendalian Jurgen Klopp dan Liverpool kini hanya dua mata di belakang pendahulu Manchester City yang akan berdepan Tottenham malam ini.

Liverpool ketinggalan hasil jaringan Leroy Fer di Stadium Liberty dan mereka tidak mempamer permainan sebenar hinggalah Roberto Firmino menyamakan kedudukan.

Penyerang Brazil Firmino juga terbabit dalam insiden yang membolehkan Liverpool dihadiahkan penalti oleh pengadil perlawanan.

Kekalahan kelima Swansea sepanjang tujuh perlawanan itu pasti melonjakkan tekanan buat pengurus Francesco Guidolin yang sudah pun berdepan spekulasi mengenai pemecatannya.

Ryan Giggs dan Bob Bradley adalah antara nama yang disebut-sebut sebagai pengganti paling layak buat Guidolin.

Klopp hanya membuat satu pertukaran ke atas pasukan yang membelasah Hull 5-1 di Anfield minggu lalu dengan Dejan Lovren kembali disenaraikan ke dalam kesebelasan utama bagi menggantikan Ragnar Klavan.

“Anda perlu membuktikan pada setiap minggu bahawa anda sentiasa sedia untuk menghasilkan keputusan positif,” kata Klopp.

Tuan rumah turut membuat pertukaran selepas kekalahan 1-3 di tangan Manchester City minggu lalu dan penyerang Borja Baston diturunkan buat kali pertama bagi menggantikan Fernando Llorente yang cedera.

Bekas penyerang Atletico Madrid Borja agak menyerlah tetapi dia terlepas peluang awal untuk menjaringkan gol apabila tandukannya hasil hantaran lintang Wayne Routledge melepasi palang.

Pertahanan Liverpool dilihat goyah walaupun Lovren kembali bermain dan Fer bertindak cemerlang bagi membolehkan tuan rumah berada di depan.

“Pasukan kami bagus tetapi buat masa ini kami tidak dapat mempamer persembahan sebenar,” kata Guidolin.

“Pemain membuktikan kebolehan mereka dan hubungan kami tetap baik.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 5:14 AM