ZVEREV mara selepas atasi Murray.
ZVEREV mara selepas atasi Murray.
KEJUTAN buat Murray tersingkir awal.
KEJUTAN buat Murray tersingkir awal.
AFP

Melbourne: Pemain nombor satu dunia Andy Murray mengalami kejutan besar tersingkir pada Terbuka Australia semalam, sekali gus membuka pintu buat Roger Federer yang semakin hampir merebut kejuaraan utama ke-18.

Murray menjadi pilihan utama selepas Novak Djokovic tersungkur namun pemain Britain itu tewas 5-7, 7-5, 2-6, 4-6 kepada Mischa Zverev (gambar) menyebabkannya terpaksa menunggu lagi bagi kejuaraan sulung di Melbourne.

Peluang Federer untuk meraih kejuaraan utama pertama sejak 2012 semakin meningkat dengan Zverev pencabar berikutnya selepas memerlukan lima set sebelum menundukkan Kei Nishikori 6-7 (4/7), 6-4, 6-1, 4-6, 6-3 pada pusingan keempat.

“Ini satu saat menakjubkan dalam karier saya,” kata pemain Switzerland berusia 35 tahun itu yang sudah memegang rekod 17 kejuaraan Grand Slam.

“Saya memberitahu diri sendiri, ‘Bertenang’. Saya berasa cergas, saya berlatih segigih mungkin ketika cuti rehat. Itu yang anda katakan kepada diri sendiri dan harapnya ia berbaloi,” ujarnya.

Murray tidak pernah dijangka berdepan masalah menentang pemain Jerman Zverev, 29, yang tidak pernah menang kejuaraan ATP, namun dia mengalami kekalahan terawal di Melbourne dalam tempoh lapan tahun.

Belum pernah sejak Terbuka Perancis 2004 dua pilihan utama terkandas sebelum suku akhir, perkembangan yang memberikan peluang kepada pemain lain.

Dengan kekalahan itu, Murray meneruskan badinya pada Terbuka Australia, yang mana dia muncul naib juara sebanyak lima kali, tewas empat final kepada Djokovic tanpa pernah menjulang trofi kejuaraan.

Keputusan itu juga menyaksikan pilihan utama tersingkir awal pada Terbuka Australia dalam tempoh 14 tahun sejak Lleyton Hewitt kecundang pada peringkat sama pada 2003.

“Saya mengalami kekalahan perit dalam karier sebelum ini. Saya bangkit daripadanya. Ini paling sukar,” kata Murray.

“Saya pasti akan bangkit selepas ini. Tapi ketika ini memang saya terlalu kecewa kerana saya mahu mara lebih jauh pada kejohanan ini tapi ia tidak menjadi kenyataan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 10:20 AM