AFP

Doha: Novak Djokovic (gambar) akan memulakan usaha mempertahankan gelaran Terbuka Australia yang dijadual bermula 18 Januari ini dengan penuh yakin selepas berada pada tahap terbaiknya ketika ini.

Bercakap kepada media selepas mengatasi Rafael Nadal pada Terbuka Qatar kelmarin - dengan kedua-dua pemain mengakui bintang Serbia itu bermain cemerlang - pemain nombor satu dunia itu menjangka dia akan beraksi dengan tahap sama pada kejohanan Grand Slam pertama tahun ini.

“Saya harap dapat berada di kemuncak prestasi dan bermain seperti hari ini di Melbourne nanti,” kata Djokovic.

Jika benar, pasti tidak ada sesiapa yang boleh menyekatnya di Australia dan ia berita buruk buat semua pesaingnya.

Dia mengatasi Nadal 6-1, 6-2 dan pemain Sepanyol itu menyifatkan permainan Djokovic sebagai sempurna.

“Saya tidak pernah melihat ada pemain yang bermain hebat sepertinya setakat ini,” kata Nadal yang berkata aksi seperti itu tidak pernah berjaya dipersembahkan Roger Federer walaupun ketika berada di zaman kemuncaknya.

Antara kejayaan paling membanggakan Djokovic sepanjang minggu ini ialah dia langsung tidak pernah tercicir set dalam lima perlawanan, menjulang kejayaan ke-60 dalam kariernya dan menjarakkan rekod pertemuan dengan Nadal kepada 24-23.

Pemain nombor satu dunia itu kini menumpukan perhatian kepada aksi di Melbourne.

“Tumpuan saya hanya ke arah Melbourne dan apa yang saya lakukan di sini,” katanya.

“Minggu yang saya harungi sebelum Terbuka Australia akan menjadi sangat berguna buat saya kerana saya banyak bermain, berlatih dan mengharungi lima perlawanan yang amat hebat.”

Tahun lalu, dia menewaskan pemain Britain Andy Murray dalam empat set sebelum memenangi Terbuka Australia buat kali kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 7:56 AM