AFP

Dubai: Pemain nombor satu dunia Andy Murray (gambar) mudah melangkah ke pusingan kedua Kejuaraan Tenis Dubai kelmarin sebaik kembali lima minggu selepas mengalami kekalahan mengejut pada Terbuka Australia.

Pilihan utama itu, kini cergas sepenuhnya selepas dijangkiti penyakit kayap, mengalahkan Malek Jaziri 6-4, 6-1 sekali gus mengelak nasib malang menimpa pilihan kedua dan juara bertahan Stanislas Wawrinka, yang tersingkir apabila persembahannya merudum sekalipun mendahului 4-1.

“Saya berasa kurang selesa, saya tidak pernah bertemunya sebelum ini,” ujar Murray. “Saya terpaksa mengambil masa sedikit memahami corak permainannya.

“Tapi persembahan saya semakin baik selepas itu. Saya tidak berasa sakit lagi. Saya berasa bergerak dengan baik dan badan juga segar.”

Murray, yang terkandas pada pusingan keempat di Melbourne, beraksi 45 minit untuk memenangi set pembukaan namun pemain Scotland itu tidak berdepan masalah pada set kedua menentang Jaziri.

Murray kini akan berdepan pemain Sepanyol, Guillermo Garcia-Lopez.

Wawrinka, pemain Switzerland dengan tiga gelaran Grand Slam bagaimanapun tersingkir selepas tewas 6-7 (4/7), 3-6 pada pusingan pertama di tangan pemain tidak terkenal Damir Dzumhur.

Wawrinka beraksi kali pertama sejak mengalami kecederaan lutut kanan di Melbourne, yang mana dia layak ke separuh akhir kejohanan utama kali kelapan sebelum tewas di tangan rakan senegara Roger Federer.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 7:54 AM