TRUMP
TRUMP
AP

Washington: Rumah Putih di bawah pentadbiran Donald Trump semalam diselar kerana menuduh media silap melaporkan jumlah mereka yang hadir pada upacara angkat sumpah jawatan Jumaat lalu.

Trump dan ketua jurucakapnya melancarkan serangan terhadap media kelmarin, hari pertama dia memegang jawatan berkenaan dengan menuduh wartawan tidak membuat laporan sebenar mengenai jumlah itu.

Serangan itu dilakukan ketika lebih dua juta orang membanjiri bandar raya di seluruh Amerika Syarikat dalam demonstrasi yang diketuai oleh wanita yang menentang Trump.

Ketika melawat ibu pejabat Agensi Perisikan Pusat (CIA) di Virgina, Trump bertegas menyatakan kira-kira 1.5 juta orang hadir untuk menyaksikan dia mengangkat sumpah.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Sean Spicer juga menyerang media ketika mengadakan sidang akhbar pertamanya dengan memarahi wartawan dihadapannya dan menuduh mereka membuat laporan salah mengenai jumlah yang datang Jumaat lalu.

“Ia perhimpunan terbesar untuk menyaksikan upacara angkat sumpah,” katanya sebelum meninggalkan wartawan berkenaan.

Kira-kira 1.8 juta orang membanjiri National Mall pada 2009 apabila Barack Obama mengangkat sumpah kali pertama selaku presiden.

Bagaimanapun, laporan berdasarkan gambar yang dirakam Jumaat lalu menunjukkan kira-kira 250,000 orang sahaja hadir untuk menyaksikan Trump berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 8:27 AM