BASHAR dan keluarganya mengunjungi anggota tentera Syria yang cedera di kediaman mereka di Hama, tengah negara itu, semalam.  - AFP
BASHAR dan keluarganya mengunjungi anggota tentera Syria yang cedera di kediaman mereka di Hama, tengah negara itu, semalam. - AFP
Reuters

Moscow: Russia semalam mengecam ancaman Amerika Syarikat terhadap rejim Syria selepas Washington menuduh tentera Syria yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad melakukan persiapan untuk melancarkan satu lagi serangan kimia dan akan berdepan ‘hukuman berat.’

“Kami menganggap ancaman seumpama itu terhadap kerajaan Syria sebagai tidak boleh diterima,” kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov kepada wartawan.

Moscow yang menyokong Bashar secara ketenteraan sering menyangkal tuduhan bahawa Damsyik bertanggung jawab terhadap serangan senjata kimia di Syria April lalu.

Washington mencetuskan kemarahan Russia apabila ia melancarkan serangan peluru berpandu berikutan tuduhan itu, tindakan ketenteraan secara langsung yang pertamanya terhadap tentera Bashar di Syria.

Dalam satu kenyataannya kelmarin, jurucakap Rumah Putih, Sean Spicer berkata, Amerika Syarikat mengenal pasti persiapan untuk melancarkan satu lagi serangan senjata kimia oleh rejim Bashar yang akan menyebabkan kematian ramai orang awam.

“Jika Bashar melakukan satu lagi serangan yang menyebabkan kematian besar-besaran, dia dan tenteranya akan berdepan tindak balas yang besar,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan dua perenggan itu bagaimanapun tidak menawarkan sebarang bukti bagi mewajarkan amaran keras itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2017 @ 8:09 AM