Bekas pemain sepak takraw kebangsaan Mohd Firdaus Abd Ghani, 39, dipenjara sehari dan diarah membayar denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, pagi tadi.
Bekas pemain sepak takraw kebangsaan Mohd Firdaus Abd Ghani, 39, dipenjara sehari dan diarah membayar denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, pagi tadi.
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Bekas pemain sepak takraw kebangsaan Mohd Firdaus Abd Ghani, 39, dipenjara sehari dan diarah membayar denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, pagi tadi selepas mengaku salah atas tuduhan membuat laporan palsu berkaitan kejadian samun, Disember lalu.

Tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh selepas dia mengangguk faham pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curang memberi laporan palsu berkenaan disamun pada jam 1.30 pagi, 30 Disember lalu di Balai Polis Tanjung Minyak, di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-dua sekali,

Tertuduh tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan kerana menanggung dua anak termasuk paling kecil berusia tujuh tahun dan tidak bekerja.

Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban bagaimanapun mencadangkan hukuman setimpal sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh tapi juga orang awam kerana tindakannya menyusahkan penjawat awam menjalankan siasatan ke atas laporan samun yang tidak wujud.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Majistret Mohd Firdaus Saleh kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara sehari bermula hari ini dan diarah membayar denda RM1,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 3:38 PM