Izharrudin (depan) diiringi keluar dari mahkamah selepas dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Majistret.
Izharrudin (depan) diiringi keluar dari mahkamah selepas dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Majistret.
Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Akibat mendatangkan kecederaan dengan mencekik leher seorang wanita, seorang pengawal keselamatan lelaki dipenjara sehari dan diperintah membayar denda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Mohd Firdaus Saleh,
ke atas tertuduh, Izharuddin Talib, 50, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera kepada wanita berusia 23 tahun dengan mencekik leher mangsa pada jam 10 malam, 5 September lalu, di sebuah rumah
di Lorong Hj Said, Bukit Katil, di sini.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashraf Abd Hamid, ketika pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah mengenakan hukuman setimpal
ke atas tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan, selain menanggung lima anak.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Mohd Firdaus kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari bermula semalam dan denda RM1,200, namun jika gagal bayar membayar denda boleh dikenakan penjara sebulan, dan tertuduh membayar denda berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 9:23 AM