Mohd Hilmie Hussin


GURU Bahasa Melayu didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, selepas mengaku bersalah menghantar WhatsApp tidak sopan dan mengaibkan wanita pada Mac lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Mohd Firdaus Saleh terhadap Rosliza Ali, 48, yang membuat pengakuan sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah kepadanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menghantar WhatsApp mengaibkan terbabit kepada Hafnizan Baharol, 39, pada 10.45 pagi di Jalan Taming Sari pada 1 Mac lalu.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ke atasnya diringankan atas alasan ibu tunggal kepada tiga anak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Mohd Firdaus kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM100 atau penjara satu hari jika gagal bayar. Tertuduh kemudian membayar denda tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 4:07 PM