Mohd Hilmie Hussin


SELUAR dalam lelaki antara pelbagai pakaian bernilai RM298.90 dicuri seorang promoter wanita di sebuah pasar raya, di Melaka, Jun lalu, menyaksikannya dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Mohd Firdaus Saleh ke atas tertuduh, Roslinda Kasaruddin, 33, yang membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa kepadanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan niat curang mencuri tiga jenis pakaian iaitu dua kotak seluar dalam lelaki, sehelai seluar denim lelaki, sehelai baju berkolar lengan pendek berjumlah RM298.90 kepunyaan Aeon Bandaraya Melaka.

Tindakan itu dilakukannya pada jam 10.13 malam di tempat parkir motosikal Aeon Bandaraya Melaka, Jalan Panglima Awang, di sini, pada 20 Jun 2017.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan kerana sudah berkahwin dan tidak mampu membayar denda yang tinggi.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Mohd Firdaus kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara sehari dan denda RM2,000 atau empat bulan penjara jika gagal bayar.

Tertuduh kemudian membayar denda tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 4:34 PM