Kuala Lumpur: Padah mencederakan bekas teman wanitanya, seorang pembaiki penghawa dingin dipenjara satu hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Muhammad Faizal Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Farid Azmi, 30, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Tertuduh berdepan hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Farid didakwa menyebabkan kecederaan kepada Alina Saleh, 33, di dalam bilik hotel di Jalan Medan Tuanku di sini jam 2.40 petang, 4 Januari lalu dan didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N Joy Jothi manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Ridza Mohd Noh.

Mengikut fakta kes, mangsa dengan sengaja menyewa bilik di hotel tempat tertuduh bekerja untuk berjumpa dengan teman lelakinya yang enggan memulangkan wang RM1,000, kasut sukan, sehelai baju T dan beg berjenama. Mangsa menghubungi pejabat khidmat pelanggan kononnya mengadu kerosakan penghawa dingin di bilik disewanya.

Tertuduh kemudian tiba dan mangsa menarik tangan tertuduh dan memintanya mengembalikan barangan dipinjam dan berlaku pergelutan sehingga tertuduh menolak mangsa, meletakkan kedua-dua lutut di dada wanita itu dan mencekik mangsa sehingga menyebabkan mangsa cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 9:24 AM