Bank Muamalat
Bank Muamalat
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) menyasarkan 20,000 kad kredit patuh syariah sepenuhnya iaitu Bank Muamalat Visa Platinum-i dan Bank Muamalat Visa Infinite-i, dilanggan, bagi tempoh 12 bulan pertama ini.

Pengarah Perbankan Peruncitannya, Zury Rahimee Zainal Abiden berkata, melalui kerjasama dengan Visa International, pihaknya dapat menawarkan segala keperluan perbankan pelanggan di bawah satu bumbung.

Katanya, kelebihan kad kredit terbaharu Bank Muamalat itu juga ditawarkan tanpa yuran tahun dengan ganjaran pulangan tunai.

"Bank Muamalat akan terus mempelbagaikan akses produk patuh syariah pada masa akan datang sekali gus mampu memenuhi keperluan pasaran sasaran.

"Pengenalan Kad kredit i-Visa Bank Muamalat ini tepat pada masanya kerana pembayaran tanpa sentuh sudah menjadi satu keperluan ketika ini.

"Kad kredit i-Visa Bank Muamalat mempunyai ciri menarik, menyediakan elemen keselamatan dan kebolehcapaian yang lebih baik," katanya kepada media selepas pelancaran kad kredit Bank Muamalat Visa Platinum-i dan Bank Muamalat Visa Infinite-i di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin dan Pengurus Negara Visa bagi Malaysia, Ng Kong Boon.

Antara elemen menarik yang terdapat pada kad kredit i-Visa Bank Muamalat, ia boleh menggabungkan pembelian harian merangkumi pembelian dalam talian, tanpa sentuh dan bersemuka ke dalam akaun Bank Muamalat.

Zury berkata, kelebihan itu secara tak langsung membolehkan pemegang kad mengurus kewangan mereka dengan lebih efesien dan berkesan di bawah satu institusi kewangan.

Menurutnya, kad Muamalat Visa Infinite-i juga memiliki keunikan kerana ia adalah kredit kad metal Islamik pertama di Malaysia selain memberi lebih banyak pilihan kad kredit yang menarik kepada pengguna di Malaysia terutamanya yang memilih elemen patuh syariah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 7:04 PM