Zukri (dua kanan) bersama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Razali Shahabudin (dua kiri) melancarkan Terminal E-Donation, semalam.
Zukri (dua kanan) bersama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Razali Shahabudin (dua kiri) melancarkan Terminal E-Donation, semalam.
Oleh Nabill Basaruddin

Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menjangka trend pertumbuhan perlahan sepanjang tahun ini bagi keseluruhan operasi berbanding tahun lalu berdasarkan persekitaran ekonomi semasa yang mencabar ketika ini.

Bagaimanapun, bagi segmen perbankan pembiayaan, BIMB optimis mencapai pertumbuhan cemerlang dua digit, sekali gus mengekalkan prestasi tahun lalu.

Pengarah Urusan BIMB, Datuk Seri Zukri Samat berkata, dengan ekosistem ekonomi yang dilanda ketidaktentuan, BIMB turut mengambil langkah persediaan seperti menurunkan jangkaan dalam segmen pembiayaan kewangan sehingga lapan peratus.

“Malah, pada tahun lalu kami menyasarkan membuka sehingga 215 cawangan baru, namun berdasarkan kepada keadaan ekonomi semasa yang kurang memberangsangkan hanya 146 cawangan sahaja dicapai,” katanya pada majlis pelancaran Terminal e-Donation-Visa Paywave di sini, semalam.

Terminal e-Donation adalah antara produk tanggungjawab sosial korporat (CSR) diperkenalkan dengan teknologi terkini menggunakan Visa Paywave yang membolehkan orang ramai memberi sumbangan melalui kaedah elektronik kad tanpa sentuh, kad kredit dan debit yang dilengkapi ciri PayWave.

Zukri berkata, BIMB muncul bank pertama di Malaysia menjadi perintis dalam merealisasikan perkhidmatan sumbangan melalui kaedah kad tanpa sentuh yang memberi manfaat kepada orang ramai khususnya umat Islam untuk bersedekah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 6:46 AM