UOB memperkenalkan kad Infinite Metal UOB untuk pelanggan mewah, semalam. FOTO Rosdan Wahid
UOB memperkenalkan kad Infinite Metal UOB untuk pelanggan mewah, semalam. FOTO Rosdan Wahid
Alzahrin Alias

Kuala Lumpur: United Overseas Bank (M) Bhd (UOB Bank) mencatatkan peningkatan dalam segmen kad kredit dan muncul sebagai penyumbang utama kepada perniagaan keseluruhan UOB sebanyak 30 peratus.

Ia kini menjadi pengeluar kedua terbesar pasaran kad kredit di Malaysia.

Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Bank Ronnie Lim berkata, pelbagai inisiatif dan produk baru berkaitan kad kredit dilancarkan pihaknya bagi memenuhi dan memberi nilai tambah kepada pelanggan.

“Ketika ini kita ada satu juta kad kredit dikeluarkan. Bagi segmen pelanggan mewah pula, perbelanjaan berkaitan pengembaraan meningkat 35 peratus.

“Pada 2018, pemegang kad kredit mewah membelanjakan RM205 juta untuk produk dan perkhidmatan berkaitan pengembaraan, meningkat 23 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Justeru, UOB memperkenalkan Infinite Metal UOB khusus untuk golongan mewah dengan pelbagai ganjaran. Tawaran ini disediakan kepada pelanggan atas dasar jemputan saja,” katanya selepas melancarkan Kad Visa Infinite Metal UOB di sini, semalam.

Hadir sama Pengurus Negara Visa untuk Malaysia, Ng Kong Boon.

Infinite Metal UOB adalah kad kredit disasarkan untuk pengguna segmen mewah yang terpilih.

Lim berkata, pengguna kad kredit mewah di Malaysia mencatatkan peningkatan 20 peratus tahun ke tahun.

Menurutnya, ekonomi global dan Malaysia dijangka menyaksikan petanda positif pada akhir Februari dan awal Mac apabila perkembangan berlaku di seluruh dunia terutama hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dan China menjadi lebih jelas.

UOB Bank menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan kekal berkembang sederhana pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 10:35 AM