Antara kenderaan, peralatan dan barangan yang dirampas polis untuk membantu siasatan.
Antara kenderaan, peralatan dan barangan yang dirampas polis untuk membantu siasatan.
Fuad Hadinata Yaacob


Shah Alam: Enam lelaki yang terbabit dalam kegiatan mencuri tabung derma beberapa masjid sekitar daerah ini dalam kes yang tular di media sosial 30 Disember lalu ditahan Isnin lalu dekat sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, penahanan semua lelaki berusia antara 25 hingga 32 tahun itu dilakukan pasukan 'Task Force' Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di kawasan Sri Muda.

Beliau berkata, penahanan itu juga hasil maklumat daripada seorang lelaki yang ditahan ketika mencuri tabung derma Masjid Munawarah Seksyen 27 dekat sini kira-kira 4.30 petang hari sama.

"Suspek berusia 25 tahun itu ditahan ahli jawatankuasa Masjid Munawarah ketika dia mencuri tabung duit masjid itu.

"Sejumlah RM62 dipercayai duit tabung masjid dan sebuah motosikal jenis Yamaha LC yang digunakan suspek dirampas dan dia mengaku melakukan jenayah mencuri wang tabung di tujuh masjid sekitar Shah Alam bersama dua rakannya yang masih bebas," katanya.

Beliau berkata, hasil maklumat pasukan 'Task Force' berkenaan melakukan empat serbuan di kawasan Sri Muda dan menahan enam individu dipercayai anggota kumpulan itu.

Shafien berkata, polis merampas sebuah kereta jenis Proton Wira dan dua motosikal yang digunakan untuk melakukan jenayah itu, dua dawai penyangkut baju, dua pemutar skru, sebatang playar serta wang tunai RM62.

Menurutnya, semua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan dan semuanya didapati positif dadah.

Pada 30 Disember lalu, dua lelaki yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) mencuri tabung derma Masjid Al Ubudiah, Seksyen 19, dekat sini, menjadi tular di media sosial.

Dalam video berdurasi 47 saat itu, seorang lelaki berbaju merah dan berseluar jean coklat masuk ke masjid itu melalui pintu utama sebelum memerhatikan keadaan sekeliling.

Selepas itu, lelaki terbabit mengeluarkan sebatang besi daripada poket seluar kiri sebelum mengumpil tabung berkenaan dan mengambil plastik hitam berisi wang derma.

Lelaki itu kemudiannya berlari dengan membawa selipar ke arah rakannya yang menunggu di motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 5:30 PM