Petikan rakaman CCTV dua lelaki yang mencuri wang derma Masjid Al Ubudiah, Seksyen 19, Shah Alam, Jumaat lalu. - Foto Ihsan Pembaca
Petikan rakaman CCTV dua lelaki yang mencuri wang derma Masjid Al Ubudiah, Seksyen 19, Shah Alam, Jumaat lalu. - Foto Ihsan Pembaca
Siti Nor Amirah Abu Bakar


Shah Alam: Polis sedang mengesan dua lelaki yang mencuri tabung derma Masjid Al Ubudiah, Seksyen 19 dekat sini, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Nek Zaidi Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan daripada wakil masjid itu Sabtu lalu, sebelum menjalankan siasatan.

Menurutnya, kejadian disedari kira-kira 7.30 petang Jumaat lalu, selepas jemaah masjid mendapati tabung derma di pintu masjid rosak akibat dipecahkan.

"Siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki itu memasuki kawasan masjid pada 5.07 petang.

"Suspek sedang diburu dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan," katanya di sini.

Video 47 saat itu menjadi tular (viral) di media sosial sejak Sabtu lalu, menunjukkan seorang lelaki berbaju merah dan seluar gelap masuk ke dalam masjid melalui pintu utama sebelum memerhatikan keadaan sekeliling.

Dia kemudian mengeluarkan besi dari poket seluar dan mengumpil tabung serta mengambil plastik hitam berisi wang derma.

Lelaki itu kemudian berlari dengan mengambil seliparnya membonceng motosikal rakannya yang sudah menunggu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2017 @ 7:09 PM