ZHENG (kanan) kemudi jentera tengah.
ZHENG (kanan) kemudi jentera tengah.

Guangzhou: China akur mereka tidak mempunyai peluang besar memenangi Piala Asia 2015 di Australia bulan depan.

“Kami bukan pasukan pilihan, kami tidak mempunyai peluang terbaik,” jelas ketua jurulatih China, Alain Perrin (gambar).

“Apa yang saya tahu pemain bersedia untuk memberikan yang termampu,” kata Perrin yang menambah, tiada yang mustahil.

China berdepan kesukaran sebelum melangkah ke Piala Asia menerusi perbezaan gol hasil penalti lewat perlawanan ketika tewas 1-3 kepada Iraq pada Mac lalu.

Kekalahan itu memberikan permulaan yang kurang baik buat bekas bos Lyon yang baru dilantik selepas beliau terpilih daripada senarai panjang untuk menggantikan pengendali dari Sepanyol, Jose Antonio Camacho.

“Saya harap usaha yang dilakukan pemain dalam beberapa bulan dan kerjasama berpasukan akan membolehkan kami melepasi pusingan pertama,” kata Perrin.

Jurulatih dari Perancis itu bercakap kepada pemberita selepas pemain yang memakai pakaian lengkap pasukan dan bersemangat tinggi, diperkenalkan menerusi program televisyen di bandar selatan China, Guangzhou.

Pemain terbaik Asia 2013, Zheng Zhi yang beraksi untuk kelab gergasi Guangzhou Evergrande akan memperkuatkan bahagian tengah.

Zheng, kapten pasukan, menjadi tumpuan selepas hampir tiga musim di Charlton Athletic dan setahun bersama gergasi Scotland, Celtic sebelum kembali ke China menyertai Evergrande.

China mempunyai rekod kurang baik di pentas antarabangsa. Pasukan itu hanya menang dua daripada enam perlawanan kelayakan dan perlu berusaha keras untuk kejohanan bulan depan dengan saingan sukar Korea Selatan dan juara bertahan, Jepun yang berada dalam prestasi terbaik. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:10 AM