Paulinho (kiri) setuju berpindah ke Barcelona dengan bayaran RM202 juta. -Foto AFP
Paulinho (kiri) setuju berpindah ke Barcelona dengan bayaran RM202 juta. -Foto AFP
APP

Barcelona menjadikan pemain tengah kebangsaan Brazil, Paulinho sebagai pembelian pertama mereka sejak meraih pendapatan lumayan hasil penjualan Neymar dengan rekod dunia semalam selepas bersetuju dengan bayaran 40 juta euro (RM202 juta) bersama kelab China, Guangzhou Evergrande.

“Barcelona dan Guangzhou Evergrande sudah bersetuju dengan perpindahan pemain Paulinho Bezerra dengan bayaran 40 juta euro,” menurut Barca dalam satu kenyataan.

Pemain berusia 29 tahun iu menandatangani perjanjian empat tahun dengan klausa tebus kontrak sebanyak 120 juta euro (RM607 juta) dan akan diperkenalkan secara rasmi Khamis ini.

Pengumuman pembelian pemain ketiga Barca itu ketika jendela perpindahan musim panas ini hadir hanya beberapa jam selepas kekalahan 1-3 kepada Real Madrid pada aksi pertama Piala Super Sepanyol, Ahad lalu.

Pemain tengah Sergio Busquets bagaikan memaksa ahli lembaga pengarah kelab itu apabila mendakwa Barca mesti memperkukuhkan skuad mereka sebelum pasaran perpindahan ditutup pada 31 Ogos ini.

Barca setakat ini gagal dalam usaha mencari pengganti Neymar dengan bidaan lumayan terhadap Philippe Coutinho dan Ousmane Dembele masing-masing ditolak oleh Liverpool dan Borussia Dortmund.

“Saya harap anda gembira seperti saya di sana,” tulis Neymar dalam akaun Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 7:30 AM