AFP

Barcelona: Pemain tengah kebangsaan Brazil, Paulinho dijangka menjadi pembelian pertama Barcelona sejak kehilangan Neymar kepada Paris Saint-Germain, menurut laporan meluas media Sepanyol semalam.

Barca dilaporkan sedia membayar klausa tebus kontrak pemain berusia 29 tahun itu sebanyak 40 juta euro (RM203 juta) kepada kelab China, Guangzhou Evergrande.

Stesen radio Catalunya, Racl menganggap perpindahan itu “semakin hampir,” memetik sumber rapat pemain itu.

Malah Paulinho mungkin akan diperkenalkan seawal-awalnya esok, menurut akhbar sukan Barcelona, Mundo Deportivo, ketika Barca menanti kunjungan musuh utama Real Madrid pada aksi pertama Piala Super Sepanyol awal pagi esok.

Barca setakat ini gagal dalam cubaan mereka mencari pengganti Neymar dengan tawaran lumayan terhadap Philippe Coutinho dan Ousmane Dembele masing-masing ditolak Liverpool dan Borussia Dortmund.

Paulinho gagal menyerlah sepanjang beraksi di Eropah selama dua tahun di Tottenham Hotspur sebelum berpindah ke Guangzhou pada 2015.

Bagaimanapun, dia sudah menjadi pemain tetap dalam skuad Brazil sejak pelantikan Tite sebagai jurulatih setahun lalu, paling menyerlah ketika meledak hatrik membenam Uruguay 4-1 di laman lawan pada kelayakan Piala Dunia Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 11:35 AM