Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawainya yang melakukan pelanggaran integriti dan mencemarkan nama baik serta imej jabatan berkenaan.

Ketua Pengarah Datuk Seri Mustafar Ali berkata, jabatan akan sentiasa telus dan memberi kerjasama sepenuhnya dalam melaksanakan siasatan berhubung kes itu.

"Kita tidak akan melindungi mana-mana kakitangan yang terbabit dalam aktiviti tidak berintegriti dan akan memastikan pegawai yang melakukan kesalahan dikenakan tindakan.

"Kakitangan yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan termasuk dibuang kerja selain dibawa ke mahkamah oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini memerintahkan tahanan reman selama enam hari terhadap empat pegawai Imigresen Selangor bagi membantu siasatan memalsukan resit bayaran yuran permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) tahun lalu.

Mereka masing-masing dua wanita dan lelaki berusia 30 hingga 35 tahun ditahan di Pejabat SPRM Selangor antara jam 3.30 hingga 4.45 petang semalam.

Mustafar berkata, dalam kes ini JIM sendiri sudah melakukan risikan dan audit dalaman, sebelum mendapati terdapat pemalsuan maklumat permohonan PMA yang dilakukan beberapa pegawai.

"Setiap maklumat daripada hasil risikan diserahkan kepada SPRM bagi tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 8:26 PM