Azlan Hafeedz


Kota Bharu: “Saya dan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tidak pernah bermain wayang, bersandiwara atau mahu berdrama. Kami tiada masa untuk semua itu. Hentikan segera polemik. Yang jelas, Kelantan kekal beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M),” kata Pengerusi Kumpulan Al Hamra dan Pengerusi RedONE, Tan Sri Annuar Musa (dua dari kanan) yang kini menjadi penaja utama The Red Warriors (TRW), musim ini.

Dengan jawapan yang diberikan oleh mantan Presiden KAFA itu, berakhirlah teka-teki serta debaran yang menyelubungi penyokong Kelantan hampir dua bulan sehingga tercetusnya pelbagai spekulasi dan andaian di laman sosial.

Bagaimanapun, Bapa Pembangunan Bola sepak Kelantan itu tampil dengan status berbeza, bukan selaku Presiden KAFA, sebaliknya sebagai penaja utama Kelantan menerusi dua syarikat, Kumpulan Al Hamra dan RedONE menggantikan Vida Beauty Sdn Bhd.

Annuar berkata, Kelantan sudah boleh mendaftarkan 23 pemain termasuk seorang import Margaro Gomez dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang ditutup hari ini (semalam) sebelum perlu mendaftarkan tujuh lagi pemain termasuk tiga import baharu pada 23 Januari ini.

Katanya, hasil persetujuannya dan juga ahli Lembaga Pengarah RedONE lain, mereka bersetuju memberi tambahan dana sebanyak RM3 juta kepada KAFA sebagai permulaan mereka untuk melakukan persiapan awal musim.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 5:31 AM