DJEUGOUE (kiri) mahu rebut kesebelasan utama Kelantan.
DJEUGOUE (kiri) mahu rebut kesebelasan utama Kelantan.
Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Beraksi di pentas Piala Dunia bukan alasan buat Cedric Djeugoue untuk mendabik dada sebaliknya pemain berusia 24 tahun itu perlu bekerja keras bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama Kelantan musim ini.

Pemain Cameroon yang beraksi di Piala Dunia 2014 itu berpendapat, kehadirannya di Malaysia bukan untuk melancong sebaliknya mahu menimba pengalaman kerana ini kali pertama dia beraksi di luar Afrika.

Sebaik menerima tawaran bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa menerusi ejennya Marcello Houseman, dia pantas mencari maklumat berhubung bola sepak Malaysia di laman web kerana langsung tidak pernah tahu mengenai liga negara ini.

Djeugoue berkata, walaupun bola sepak setiap negara berbeza, dia akan segera menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan, jurulatih, cuaca, padang dan penyokong.

Katanya, pengalaman dua tahun beraksi bersama di Piala Dunia 2014 dan Piala Negara-Negara Afrika 2015 akan dikongsi dengan rakan sepasukannya di Kelantan.

“Kualiti pasukan itu bukan bergantung kepada seorang pemain saja. Yang penting, kami perlu bermain sebagai satu pasukan, berdisiplin dan selalu mengikut arahan jurulatih,” katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Pertanian MARDI, petang kelmarin.

Sebelum itu, pemain yang memiliki ketinggian 1.83 meter itu akan bermain di posisi pertahanan tengah atau kiri dan mungkin bergandingan dengan Margaro Gomis serta Mohd Faris Shah.

Karier antarabangsa Djeugoue bermula ketika berusia 21 tahun dengan pernah mendapat bimbingan jurulatih terkenal dari Jerman Volker Finke.

Kelab yang pernah disertainya adalah Coton Club FC di Cameroon manakala pemain idolanya ialah bekas rakan sepasukan Samuel Eto’o dan Nicolas N’koulou dari Olympique Lyon selain Mats Hummels (Bayern Munich).

Djeugoue dan dua lagi import baru Kelantan, Okiki Afolabi dan Mohammed Ghaddar dibawa masuk secara khas oleh penaja utama Kelantan, RedONE Malaysia dalam usaha mengimbangi kekuatan pasukan.

Sementara itu, Setiausaha Agung KAFA Datuk Ismail Md Noor pula berkata, ketiga-tiga import Kelantan itu kini sedang menjalani ujian pemeriksaan kesihatan sebelum dibenarkan menjalani latihan.

“Kalau tiada masalah termasuk kelulusan ITC (Sijil Perpindahan Antarabangsa) dari kelab masing-masing, besar kemungkinan mereka boleh diturunkan dalam perlawanan sulung Liga Super bertemu Melaka United, Sabtu ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 12:33 PM