PEMAIN Kelantan memperagakan jersi baru   musim 2015 di KTC, semalam.
PEMAIN Kelantan memperagakan jersi baru musim 2015 di KTC, semalam.
Oleh Azlan Hafeedz

Kota Bharu: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) memperoleh nilai keseluruhan tajaan RM5 juta untuk membiayai kos pengurusan pasukan The Red Warriors (TRW) bagi mengharungi musim 2015.

Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa berkata, 12 penaja membabitkan syarikat dan individu membabitkan anak jati negeri itu sudah menyatakan persetujuan menaja pasukan Kelantan.

“Perubahan mendadak setiap pasukan yang masing-masing berlumba mendapatkan pemain dan pengurusan terbaik menyebabkan kos pengurusan turut meningkat secara drastik.

“Kelantan turut tidak terkecuali apabila menerima tempias sama musim ini dengan kos pengurusannya meningkat mendadak. KAFA memerlukan sekurang-kurangnya RM10 juta setahun bagi membiayai pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum merasmikan Majlis Memperkenalkan Penaja dan Pelancaran Jersi TRW ketika ditemui di Kelantan Trade Centre (KTC), di sini, semalam.

Selain ChengalJati selaku penaja rasmi jersi Kelantan musim ini, penaja lain membabitkan Sinar Harian, Adabi, Puspamara, UniKL, RedOne, Syarikat Muda Osman, AZE & Groups Sdn Bhd, Airish Fashion Cosmetic, E-Mutiara Konsortium Ekspres dan Rennoil.

Pelancaran jersi baru itu diperagakan secara rasmi oleh pemain Kelantan dengan mengekalkan jersi merah di gelanggang sendiri dan putih, gelanggang lawan.

Mengulas kedudukan Muhammad Ferris Daniel Mat Nasir yang dikatakan menandatangani kontrak dengan FELDA United FC, beliau berkata, penyerang Harimau Malaya itu kini sah milik Kelantan.

Katanya, ketetapan itu tertakluk kepada peruntukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekali gus menyaksikan kontrak pemain itu dengan FELDA United terbatal.

“Dia sepatutnya sudah lama melaporkan diri dengan kami, tapi tidak berbuat demikian. Kini dia sah milik Kelantan dan perlu lapor diri sebelum perlawanan pertama Sabtu ini,” katanya.

Pemain itu mencetuskan kontroversi apabila dikatakan gagal melaporkan diri dengan kem Kelantan dan kemudian menandatangani kontrak bersama FELDA United FC, menyebabkan KAFA menghantar dua surat rasmi kepada FAM menuntut isu itu diselesaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 7:24 AM