REKA bentuk elegan berwarna merah jambu dari warna Jotun Deko Pink sesuai untuk dinding yang digabung bersama warna kehijauan dari tumbuh-tumbuhan.
REKA bentuk elegan berwarna merah jambu dari warna Jotun Deko Pink sesuai untuk dinding yang digabung bersama warna kehijauan dari tumbuh-tumbuhan.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Memperbaharui dekorasi apabila melangkah ke tahun baru sama ada rumah atau pejabat mampu mewujudkan suasana berbeza.

Warna cat memainkan peranan besar dalam mengubah keseluruhan mood dan tata rias dekorasi kerana secara tidak langsung ia menyuntik semangat baru dalam kehidupan seharian.

Jotun Paint (Malaysia) Sdn Bhd memperkenalkan rangkaian palet Trend Warna Global 2017 yang menampilkan pelbagai pilihan warna istimewa, baru-baru ini.

Koleksi palet warna terbaru itu berinspirasikan idea, kehidupan dan budaya seluruh dunia.

Ia menampilkan rangkaian unik warna kontemporari sesuai bagi melahirkan ruang pelbagai variasi seperti bertenaga, ketenangan dan inspirasi.

Berikut palet Trend Warna Global 2017 yang diperkenalkan Jotun mengikut tema seperti ‘Nordic Living,’ ‘Urban Living’ and ‘Continental Living.’

Nordic Living - Warna Ketenangan

Alam semula jadi adalah sumber ketenangan kepada penduduk negara Nordik kebanyakannya hidup secara ekologi dengan menanam sayur-sayuran dan makan ikan yang ditangkap dari sungai berdekatan. Mendapat inspirasi daripada kehidupan dan budaya berkenaan, Jotun membangunkan palet warna kehidupan Nordik dalam usaha mencipta suasana santai di rumah. Jotun Arctic Grey, Jotun Cashmere, Jotun Washed Linen dan Jotun Band Stone yang baru adalah beberapa warna utama dalam palet Nordik.

Rona kelabu dan biru bercampur dengan warna keemasan gandum serta kuning air lautan Nordik adalah gambaran gaya hidup masa kini. Warna tenang mewujudkan latar belakang yang minimalis berpadanan dengan kehalusan reka bentuk perabot Scandinavian, seramik buatan tangan, rotan dan tekstil dari bulu haiwan asli dan linen.

Urban Living - Warna Inspirasi

Bandar besar di dunia seperti Tokyo, Miami atau Stockholm penuh dengan inspirasi dan menampilkan pemandangan kota sarat teknologi, reka bentuk menarik serta menenangkan. Jadi palet Urban Living diilhamkan daripada bandar mewah dengan latar landskap papan iklan dan lampu elektrik menemukan teknologi yang berkembang, percetakan tiga dimensi (3D) serta reka bentuk menarik. Jotun mengubah persepsi menggunakan palet warna canggih yang membolehkan anda merasai kehidupan bandar besar dan kreatif dalam rumah sendiri.

Selaras dengan itu, Jotun mencipta reka bentuk elegan merah jambu sesuai untuk dinding serasi menerusi warna hijau tumbuh-tumbuhan. Keindahan merah jambu Jotun Delightful Pink dan Jotun Deco Pink adalah jenama terbaru dari berpadanan dengan hijau Jotun Pale Green dan Jotun Evergreen atau Jotun Dusty Red dan Jotun Velvet Grey.

Continental Living - Warna Tenaga

Melalui pengembaraan, pelbagai ilmu dan budaya berbeza dapat dipelajari serta hasilnya ruang kediaman dapat diserikan dengan kenangan yang dibawa pulang dalam bentuk cenderamata. Kunjungan ke Marakesh dan Istanbul umpamanya sinonim dengan bau rempah memenuhi jalan dan warna bumi sebahagian daripada estetika negara itu. Warna hangat yang membentuk palet warna kehidupan Continental Living adalah latar belakang sempurna untuk pengalaman berkenaan.

Palet berkenaan menampilkan merah bata termasuk Jotun Heat, Jotun Kilim dan Jotun Dusty Purple serta kuning keperangan Jotun Dijon Yellow dan Jotun Olive Brown.

Continental Living juga sesuai dengan warna vintaj khazanah pelancongan dan perabot lembut kerana rona warna hangat itu mampu menzahirkan rumah dengan sentuhan peribadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 5:04 AM