Nazri Abu Bakar

Melaka: Jurulatih Melaka United (MU) , Eric Williams (gambar) terus memberi ruang kepada pemainnya membuktikan keupayaan masing-masing sebelum beliau menyenaraikan barisan kesebelasan pasukan terbabit.

Skuad berkenaan yang berlepas ke Kemboja hari ini dalam misi mengadakan sesi persahabatan pramusim di negara berkenaan sehingga 10 Januari dilihat medan terbaik buatnya untuk menguji kebolehan pemain berdepan saingan kompetitif.

Katanya, empat perlawanan termasuk berdepan pasukan terbaik di liga negara itu pasti menguji tahap sebenar pemain yang perlu meningkatkan permainan sebagai sebuah kontinjen yang mampu membawa pulangan lumayan sekembalinya dari negara terbabit.

Beliau sudah berkira-kira memiliki kesebelasan pemain yang mampu menjadi sandaran buat skuad berkenaan, namun mengakui memerlukan barisan pelapis atau simpanan yang setanding.

Katanya, semua pemain memiliki kelebihan dan keistimewaan masing-masing, malah beliau melihat peningkatan positif persembahan pasukan selepas tiga perlawanan lalu serta sesi latihan dan persembahan mereka diyakini lebih baik selepas ini.

“Kunjungan ke negara berkenaan mempunyai misi penting untuk menerbitkan persefahaman yang lebih jitu termasuk ketika melakukan asakan ke kubu lawan mahupun ketika bertahan.

“Saya juga mahu barisan benteng lebih kukuh selepas dilihat sedikit longgar ketika diasak penyerang Johor Darul Ta’azim II (JDT II) dalam perlawanan pramusim minggu lalu,”katanya.

Apapun, Williams dilihat masih belum mampu untuk menurunkan bintang import kelahiran Sweden, Omid Nazari yang masih menghadapi masalah komplikasi keracunan makanan dan masih belum dapat menyertai skuad berkenaan.

Sementara itu, pengurus pasukan MU, Datuk Wira Mohd Yusof Mahadi berkata, skuad Hijau Putih masih mengharapkan pemain itu segera pulih dan akan di turunkan dalam perlawanan pertama liga berdepan Kelantan hujung bulan ini.

Beliau berkata, pemain tengah terbabit juga dilihat kian sihat namun dikatakan perlu mengambil sedikit masa bagi memulihkan tahap kesihatannya selepas berat badannya turun mendadak sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 9:05 AM