PEMAIN Melaka melakukan persiapan awal hadapi Liga Super.
PEMAIN Melaka melakukan persiapan awal hadapi Liga Super.

Melaka: Melaka United (MU) akan bertembung dengan skuad bimbingan jurulatih Mat Zan Mat Aris, AirAsia FC dalam aksi persahabatan pada 17 Disember ini di gelanggang lawan.

Melaka yang kini dipimpin jurulatih kelahiran England, Eric Williams (gambar) akan bertemu anak buah Mat Zan Mat Aris yang juga bekas jurulatih skuad Hang Tuah.

Apa yang menarik taktikal dua jurulatih itu akan diuji menerusi sentuhan pemain masing-masing yang kebanyakannya baharu kali pertama digabungkan.

Williams berkata, perlawanan itu menjadi pentas buatnya menguji barisan pemainnya termasuk mereka yang dikekalkan dalam skuad Hijau Putih kali ini.

Berliau berharap perlawanan itu mampu memberi impak berkesan untuk mengenal pasti kelebihan dan keistimewaan pemain yang diturunkan.

“Jika boleh saya mahu menguji semua pemain dalam aksi persahabatan sebelum sepak mula Piala FA.

“Reputasi hebat pemain seharusnya diuji menerusi aksi persahabatan ini terutama dalam misi membentuk barisan pemain kesebelasan utama,” katanya.

Skuad Liga Super Melaka juga akan berdepan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan sebelum berlepas ke Kemboja bagi mengadakan perlawanan persahabatan menjelang saingan musim depan.

Apapun, baginya masih terlalu awal untuk menentukan barisan pemain utama, justeru perlawanan ujian itu antara ciri penting buat persediaan pasukan Hang Tuah di pentas Liga Malaysia 2017.

Skuad bimbingannya kini berada di Desaru, Johor menyertai sesi ‘team bonding’ sebagai persiapan menghadapi Liga Super musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 8:14 AM