PENYERANG baharu Liverpool, Darwin Nunez. FOTO Agensi
PENYERANG baharu Liverpool, Darwin Nunez. FOTO Agensi
Agensi

Salzburg, Austria: Jurgen Klopp mengakui pemain Liverpool bimbingannya keletihan ketika tewas 0-1 kepada Salzburg pada aksi persahabatan di Red Bull Arena, hari ini.

Liverpool menang 5-0 ke atas RB Leipzig Khamis lalu, tetapi tewas kepada Salzburg, seminggu kemudian.

Bagi Klopp, ia bukan sesuatu yang merisaukan kerana sesi latihan padat sepanjang kem pramusim ini akan membuahkan hasil dalam tempoh dua minggu lagi.

Pemain yang menjadi sasaran Manchester United, Benjamin Sesko meledak gol tunggal perlawanan ketika Klopp memulakan permainan dengan kesebelasan keduanya.

Pada sidang akhbar selepas perlawanan di Red Bull Arena, Klopp ditanya mengenai dua pemain baharunya, Fabio Carvalho dan Darwin Nunez.

"Saya rasa kita lihat hari ini, kami tidak bermain baik di babak pertama, tetapi jika ada sesuatu yang menarik ialah berkenaan Darwin. Dalam setengah jam terakhir, dia sering berada dalam kotak penalti lawan bersama bola.

"Fabio adalah pemain yang menakjubkan seperti ditunjukkan malam ini, tetapi ia boleh menjadi lebih baik.

"Tetapi tidak adil untuk menilai mereka sekarang. Mereka keletihan dan kita sering bertanya 'baguskah mereka?'. Ia bukan diri sebenar mereka.

"Kami mahu bersedia untuk Sabtu (menentang Manchester City pada aksi Perisai Komuniti), tetapi ia adalah perlawanan sukar kerana anda tidak berada pada tahap terbaik.

"Namun City dalam situasi sama seperti kami. Berbeza dengan Salzburg, mereka sudah mengharungi dua perlawanan (untuk musim baharu), jadi ia bukan persaingan yang setanding.

"Dalam dua minggu lagi, kami akan tampil berbeza," kata Klopp.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 12:22 PM