TENGKU Abdullah (dua kanan) berbincang bersama sebahagian ahli gabungan MHC.
TENGKU Abdullah (dua kanan) berbincang bersama sebahagian ahli gabungan MHC.

Kuala Lumpur: Tiada lagi kontroversi dalam Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) apabila ahli gabungan badan induk itu sebulat suara menerima pindaan perlembagaan baru pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EOGM) semalam sekali gus membolehkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) akan dilangsungkan pada 13 Mei ini.

Kekecohan berlaku selepas draf perlembagaan MHC pada AGM dibatalkan Februari lalu namun Presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah semalam mengumumkan semuanya sudah selesai apabila ahli gabungan bersetuju dengan cadangan mewujudkan dua jawatan Timbalan Presiden, satu untuk lelaki dan satu wanita berbanding hanya satu kerusi sebelum ini.

“Alhamdulillah semua dapat diselesaikan dengan baik dan ini mungkin kerana hasil daripada perjumpaan saya dengan pihak FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) baru-baru ini. Ia sedikit sebanyak memberikan panduan dan saya juga sudah maklumkan kepada semua delegasi hari ini (semalam).

“Akhirnya semua menerima dan tarikh 13 Mei itu sepatutnya tiada masalah (AGM akan diadakan),” katanya kepada pemberita selepas berakhirnya EOGM semalam.

Sebelum ini, MHC terpaksa membatalkan AGM lalu selepas pindaan perlembagaan baru tidak mendapat kelulusan FIH dan Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman kerana EOGM di Johor Bahru, Oktober tahun lalu didapati tidak cukup korum.

Susulan daripada itu, MHC terpaksa melakukan semula proses pemilihan jawatankuasa tertinggi badan induk itu dari awal sehinggalah draf perlembagaan baru diluluskan oleh FIH dan Pesuruhjaya Sukan.

Keputusan MHC mewujudkan dua kerusi timbalan presiden, buat lelaki dan wanita, bermakna tiada perebutan akan berlaku antara penyandangnya, Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah dan Naib Presiden Kanan, Datuk Nur Azmi Ahmad.

Bagaimanapun dengan pencalonan yang dibuka semula, Tengku Abdullah tidak menolak sebarang kemungkinan Datuk Seri Subahan Kamal yang memenangi jawatan presiden tanpa bertanding pada AGM yang dibatalkan sebelum ini bakal dicabar pada AGM 13 Mei depan.

“Saya tak pasti kerana pencalonan akan dibuka semula selepas ini. Jika ada sesiapa yang lain mahu bertanding, mereka dialu-alukan tetapi buat masa ini, dari pandangan saya, hanya Subahan adalah calon tepat menggantikan ‘kerusi’ saya,” katanya.

Selain itu, hasil EOGM semalam juga turut menyaksikan satu lagi jawatan baru, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) apabila MHC tidak lagi menggunakan Ahli Majlis Tertinggi bagi urus tadbir pentadbiran MHC selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 8:23 AM