ZAMRI (tengah) tamat penggantungan hari ini.
ZAMRI (tengah) tamat penggantungan hari ini.
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Kapten Terengganu Cycling Team (TSG) Zamri Saleh boleh meraikan Tahun Baru 2017 dengan penuh kelegaan apabila penggantungan dua bulan ke atasnya berakhir hari ini.

Sejak dua bulan lalu, pelumba berusia 33 tahun itu dikenakan penggantungan oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) selepas mempersoalkan mengenai hadiah wang kemenangan Jelajah Malaysia 2013.

Zamri mengakui lega selepas tidak lagi terikat sebarang larangan untuk berkayuh dalam mana-mana kejohanan sama ada dalam mahupun luar negara.

“Memang ia sesuatu yang sukar apabila saya digantung. Saya akui moral memang terjejas apabila tidak dapat menyertai banyak perlumbaan susulan penggantungan yang dikenakan.

“Memang amat meresahkan apabila kita tidak dapat melakukan perkara yang diinginkan. Namun akhirnya detik itu sudah berlalu dan saya kini boleh kembali fokus untuk berkayuh mewakili TSG serta negara tanpa sebarang sekatan,” ujarnya.

Terdahulu Zamri dikenakan penggantungan tiga bulan Jawatankuasa Disiplin PKBM susulan isu wang kemenangan Jelajah Malaysia 2013 namun selepas mengemukakan rayuan, hukuman itu dikurangkan kepada dua bulan.

Turut terbabit dalam isu itu rakan sepasukannya di TSG Shahrul Mat Amin namun dia lebih bernasib baik apabila hanya diberikan amaran keras.

“Sudah pasti ia satu pengajaran buat saya dan pelumba lain supaya lebih berhati-hati selepas ini. Sekiranya sesuatu perkara boleh diselesaikan secara baik, maka ia lebih bagus.

“Namun mungkin ia bergantung kepada kes tertentu. Kes saya adalah disebabkan rasa tanggungjawab sebagai pelumba senior selain membabitkan aspek kebajikan pelumba,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 4:59 AM