ZAMRI muat naik entri  di Facebook 25 Jun lalu.
ZAMRI muat naik entri di Facebook 25 Jun lalu.
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Dua pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Zamri Salleh dan Shahrul Mat Amin berdepan tindakan disiplin Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) susulan entri di laman Facebook bulan lalu.

Menurut sumber, surat PKBM kepada dua pelumba berkenaan yang bertarikh 12 Julai lalu dihantar kepada mereka dengan tempoh 14 hari diberikan untuk menjawab.

Entri Facebook berkenaan difahamkan berkaitan dengan pembayaran wang kemenangan Jelajah Malaysia 2013 yang masih belum dijelaskan.

Surat berkenaan menyatakan tindakan dua pelumba itu membolehkan tindakan tatatertib diambil Jawatankuasa Tatatertib PKBM kerana bertentangan dengan peraturan badan induk berbasikal negara itu.

Antara entri Facebook yang bertarikh 25 Jun lalu adalah ‘Genap 3 tahun... penantian satu penyeksaan... harap dan (sempat) buat raya... #prizemoneymanada #nakrayadanie.’

“Tindakan yang bakal dikenakan bergantung kepada jawapan diberikan kedua-duanya selain keputusan jawatankuasa tatatertib.

“Tindakan mereka seolah-olah tidak menghormati persetujuan antara PKBM dan TSG agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan hubungan tegang kedua-dua pihak,” tambah sumber itu.

Menjelas lebih lanjut, sumber berkenaan menyatakan PKBM sudah mengotakan janjinya sebelum sambutan Aidilfitri lalu apabila membayar sejumlah RM33,000 membabitkan hadiah kemenangan Jelajah Malaysia 2013 dan 2015 pada 27 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 9:13 AM