KUALA LUMPUR: Data peribadi individu yang melayari laman web perjudian haram berisiko untuk digodam dan dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab, kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.

Beliau berkata laman perjudian haram tidak menjamin perlindungan keselamatan data peribadi pengguna dan ramai yang tidak sedar mengenai perkara itu.

“Laman web yang menjalankan aktiviti perjudian haram boleh melakukan pengodaman data peribadi kepada sesiapa sahaja yang mengakses laman itu.

“Tujuan dia adalah untuk mendapatkan akses kepada kad kredit (pengguna) supaya ia boleh ditukar kepada kredit dalam alam maya untuk kepentingan mereka,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk “Perjudian Dalam Internet” terbitan Bernama TV, hari ini.

Selain it Mohamed Sharil berkata SKMM akan mempergiat usaha untuk menangani isu perjudian haram termasuk menyekat laman web berkaitan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 1:01 PM