ANGGOTA pencarian menaikkan serpihan pesawat yang ditemui di Laut Hitam pada lewat Isnin. - AP
ANGGOTA pencarian menaikkan serpihan pesawat yang ditemui di Laut Hitam pada lewat Isnin. - AP
Reuters

Moscow: Menteri Pertahanan Russia semalam mengumumkan penemuan kotak hitam utama pesawat tentera yang terhempas di Laut Hitam, Ahad lalu, yang menyebabkan 92 penumpang dan anak kapalnya terbunuh.

Alat perakam itu mengandungi maklumat yang dapat membantu penyiasat mengenal pasti punca nahas yang mengakibatkan kematian puluhan penyanyi koir dan penari yang dalam perjalanan ke Syria untuk menghiburkan tentera Russia sempena sambutan Tahun Baru.

Sehubungan itu, kotak hitam berkenaan yang ditemui menggunakan alat kawalan jauh pada kedalaman 17 meter akan dihantar ke kemudahan kementerian pertahanan di Moscow untuk dianalisis.

“Pencarian malam semalam (kelmarin) turut menemui lima serpihan kapal terbang termasuk sebahagian fuselaj dan serpihan enjin,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Agensi berita Interfax memetik sumber yang tidak dikenali berkata, Russia kini menghentikan penggunaan semua pesawat TU-154 sehingga punca nahas Ahad lalu itu dapat dikenal pasti. Bagaimanapun, perkara itu tidak disahkan pihak berkuasa.

Menurut kementerian pertahanan, 12 mayat dan 156 serpihan mayat ditemui setakat ini.

Nahas pesawat TU-154 terburuk sebelum ini berlaku pada 2010 apabila jet Poland membawa presidennya ketika itu, Lech Kaczynski terhempas di Russia barat menyebabkan semua penumpangnya terbunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 7:53 AM