AFP

Miami: Tiger Woods yang pernah bermain golf dengan Barack Obama, sekali lagi berbuat demikian tetapi kali ini dia mengharungi aksi 18 lubang dengan Donald Trump di Kelab Golf Antarabangsa Trump di Palm Beach, Florida.

Woods yang akan menyambut ulang tahun ke-40 hujung bulan ini, kembali bermain selepas berehat selama 15 bulan akibat kecederaan belakang.

Dia menyertai empat pemain yang dipilih presiden Amerika Syarikat itu, kata jurucakap Trump.

Bagaimanapun, jurucakap presiden itu tidak mendedahkan keputusan permainan serta apa yang dibincangkan antara Trump dengan Woods.

Pada Februari 2013, Woods yang juga juara kejohanan utama sebanyak 14 kali itu bermain dengan Obama di sebuah kelab peribadi di Florida.

Gandingan Obama dan Woods berjaya menewaskan pasangan wakil dagangan AS Ron Kirk serta pemilik Houston Astros Jim Crane.

Perlawanan itu bagaimanapun dikritik hebat selepas ia dikatakan menelan belanja AS$3.6 juta (RM16.1 juta) seperti yang dilaporkan Jabatan Audit Negara AS.

Organisasi milik Trump mempunyai rangkaian kelab golf di seluruh dunia termasuk lapangan Turnberry di Scotland yang pernah menjadi tuan rumah Kejohanan Terbuka sebanyak empat kali.

Bagaimanapun, kenyataan kontroversi Trump berhubung isu imigresen sepanjang berkempen sebelum memenangi pilihan raya menjejaskan hubungannya dengan dunia golf.

PGA Amerika memutuskan untuk tidak lagi menjadikan Lapangan Kebangsaan Trump di Los Angeles sebagai tuan rumah Grand Slam selepas tidak berpuas hati dengan kenyataan beliau berhubung isu pendatang Mexico.

Jelajah ASPGA juga bertindak memindahkan kejohanan yang sudah dirancang di Lapangan Kebangsaan Trump di Doral ke Mexico City untuk musim 2016-17 walaupun pesuruhjaya kejohanan Tim Finchem menganggap ia
tidak ada kena mengena dengan soal politik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2016 @ 5:09 AM