WOODS meraikan kejayaan melakukan birdie pada lubang kedua Kejohanan Mexico-WGC di Mexico City, awal pagi tadi. — FOTO AFP
WOODS meraikan kejayaan melakukan birdie pada lubang kedua Kejohanan Mexico-WGC di Mexico City, awal pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

TIGER Woods memburu untuk menyamai rekod Jelajah PGA AS dengan kejuaraan kesembilan pada Jemputan Arnold Palmer apabila dia bertanding di Bay Hill bulan depan, mengesahkan dia akan beraksi di sana selepas mengetepikan Klasik Honda.

Woods menang lapan kali di lapangan Bay Hill yang menjadi hos kejohanan Jemputan Palmer. Dia dan Sam Snead – yang menang lapan gelaran karier di Terbuka Greater Greensboro – memegang rekod sebagai pemenang terbanyak pada satu kejohanan sama.

Woods, bermain minggu ini pada Kejohanan Mexico-WGC, menulis dalam Twitter mengenai dia tidak menyertai Klasik Honda dekat rumahnya di Jupiter, Florida, minggu depan selepas beraksi dua minggu berturut-turut di Los Angeles dan Mexico City.

“Malangnya, susulan jadual tahun ini, saya tidak boleh beraksi dalam semua kejohanan yang saya mahukan,” tulis Woods. “Saya akan berehat minggu depan dan bermain pada Jemputan Arnold Palmer dan kemudian Kejuaraan Pemain.

“Maaf kerana tidak dapat bertemu Jack (Nicklaus) dan setiap orang di Honda.”

Sejak memilih untuk memulakan pertandingan kompetitifnya di Mexico, Woods berkira-kira dengan perancangannya bagi empat kejohanan berikutnya di Florida.

Dengan tumpuannya terarah kepada kejohanan utama pertama tahun ini, Masters AS di Augusta National April depan, pemain berusia 43 tahun itu berkata, dia perlu mencari keseimbangan antara pertandingan dan berehat.

Kembali ke Bay Hill, yang mana dia menang lapan kali dan berkongsi tangga kelima tahun lalu tidak begitu mengejutkan.

Apatah lagi dalam empat kejohanan Klasik Honda sebagai pemain profesional dia tidak pernah menang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 10:14 AM