GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Bangkok: Buat pertama kalinya Thailand merekodkan angka kematian tertinggi dalam tempoh 24 jam dengan 31 individu maut akibat Covid-19 menjadikan jumlah kematian mencecah 276.

Pembantu Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Apisamai Srirangsan berkata, kematian terbaru itu membabitkan 18 lelaki dan 13 wanita berusia antara 31 dan 83 tahun.

Katanya, kes jangkitan terbaru yang dicatatkan hari ini sebanyak 2,041 turut membabitkan satu kes import menjadikan jumlah keseluruhan 71,025 kes dengan Bangkok mencatatkan kes tertinggi diikuti Nonthaburi, Samut Prakan dan Chonburi.

"Pihak berkuasa kesihatan mengesan kluster baru di daerah Khlong Toey di Bangkok dengan 304 kes jangkitan dilaporkan sejak bulan lalu.

"Kebanyakan mereka mendiami kawasan yang padat dan usaha pengesanan besar-besaran akan dijalankan," katanya dalam sidang media hari ini.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan Siriraj Hospital, Prasit Watanapa berkata, Thailand kini sedang menuju ke arah krisis sebenar jika angka jangkitan terus meningkat.

"Tolong dapatkan vaksin. Vaksin akan membantu kita mengawal jangkitan ini daripada terus merebak," katanya.

Dalam pad itu, ahli virologi kanan, Universiti Chulalongkorn, Dr Yong Poovorawan menggesa pihak berkuasa memperketat kawalan sempadan Thailand - Malaysia untuk menghalang penyebaran varian B1351 Afrika Selatan daripada memasuki Thailand.

Dalam hantaran di Facebooknya hari ini, Dr Yong berkata, terdapat lima varian dikesan di Malaysia termasuk dari Afrika Selatan.

"Terdapat kemungkinan varian ini akan memasuki Thailand melalui pintu sempadan di selatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 6:49 PM