CHUN Yong (kiri) ketika mengendalikan sesi latihan skuad futsal kebangsaan. FOTO FAM
CHUN Yong (kiri) ketika mengendalikan sesi latihan skuad futsal kebangsaan. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bukannya mengambil sikap sambil lewa namun skuad futsal kebangsaan terpaksa menangguhkan perancangan untuk bertolak ke Thailand, hari ini disebabkan masih menunggu surat pelepasan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membabitkan lima pemain utama yang sudah pulih dari Covid-19.

Ketua jurulatih futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong berkata, situasi berkenaan menyebabkan pihaknya belum mendapat surat kelulusan 'Travel Pass' daripada Thailand untuk memasuki negara terbabit.

"Justeru, kami tidak dapat berlepas ke Bangkok bukanlah disebabkan kelalaian atau kegagalan pegawai FAM untuk menghantar dokumen vaksinasi pemain dan pegawai pasukan.

"Dengan situasi semasa, kami tidak mahu berlakunya sebarang masalah sama ada ketika berlepas di Kuala Lumpur ataupun tiba di Bangkok nanti di mana ia akan menyulitkan lagi keadaan pasukan jika pemain ini terkandas atau tidak dibenarkan masuk ke Thailand.

"Selepas mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan, kami membuat keputusan untuk meneruskan kem latihan di Arena Futsal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan menangguhkan perjalanan ke Bangkok.

"Pasukan hanya akan berlepas ke sana sama ada pada Selasa atau Rabu selepas segala permasalahan membabitkan lima pemain ini dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya," katanya.

Dalam perkembangan sama, Chun Yong turut menjelaskan tidak timbul isu kerugian membabitkan kos penerbangan dan hotel memandangkan perkara ini sudahpun dimaklumkan.

"(Cuma) Kita terpaksa membatalkan beberapa perlawanan persahabatan yang sudahpun dirancang untuk diadakan di Bangkok jika berlepas awal pada hari ini.

"Namun skuad futsal kebangsaan tetap akan tiba di Bangkok sebelum pertandingan sebenar Kejuaraan Futsal AFF 2022 bermula iaitu dari 2 hingga 10 April," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 4:48 PM